Tehran, 29 Jan.
Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad semalam menuntut Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama meminta maaf berhubung jenayah yang dilakukan oleh AS ke atas negaranya sejak 60 tahun lalu.
Beliau turut mendesak supaya AS mengundurkan tenteranya dari seluruh dunia sebagai bukti bahawa Obama membuat perubahan dalam dasar luar.
“Anda (Obama) berdiri menentang rakyat Iran sejak 60 tahun lalu,” katanya dalam satu ucapan di wilayah Khermenshah yang disiarkan secara langsung.
“Mereka yang bercakap untuk melakukan perubahan perlu meminta maaf kepada rakyat Iran dan cuba memulihkan perbuatan buruk dan jenayah yang dilakukan ke atas Iran,” katanya.
Berhubung penempatan tentera AS, Mahmoud menjangkakan satu perubahan asas oleh Washington akan berlaku.
“Bertemu dengan mereka, bercakap dengan mereka dengan perasaan hormat dan menamatkan dasar perluasan kuasa.
“Jika anda bercakap mengenai perubahan, ia perlu disertai dengan menamatkan kehadiran tentera AS di dunia,” tambahnya.






















0 responses to "Iran Tuntut Obama Minta Maaf"