Kuala Lumpur, 29 Jan.
Lebih 10,000 rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan sejak 1 Januari tahun ini, kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan semalam.
Bercakap kepada Bernama, beliau berkata lebih banyak pekerja dijangka hilang pekerjaan dalam tempoh terdekat apabila semakin banyak syarikat, terutama yang bergiat dalam sektor pembuatan, menghadapi masalah untuk terus beroperasi.
Sejajar dengan itu, beliau merayu kepada kerajaan supaya menyalurkan dengan segera peruntukan melalui pakej rangsangan ekonomi kedua bagi membolehkan syarikat mengetahui dengan jelas kedudukan masing-masing.
Bulan lepas, kerajaan menyalurkan pakej rangsangan ekonomi melibatkan RM7 bilion dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji akan menyalurkan pakej kedua tidak lama lagi.
Katanya, kemelesetan ekonomi yang berlaku kali ini juga lebih kritikal kerana hampir 600,000 pencari kerja baru di negara ini membanjiri pasaran kerja setiap tahun.
Beliau berkata mereka terdiri daripada lepasan universiti, pemegang diploma, pekerja mahir dan kumpulan yang baru meninggalkan bangku sekolah.
0 responses to "Lebih 10,000 Menganggur"