Kuala Lumpur, 28 Jan.
MISC Berhad telah membayar sejumlah wang pampasan yang dituntut oleh bekas anak kapal MT Bunga Melati Dua, Salwadi Mamat yang menjadi tebusan lanun di Teluk Aden, Somalia tahun lalu.
Pengurus Besar, Jabatan Hubungan Komunikasi MISC, Fiona Clare Pereira berkata, wang pampasan tersebut telah dibayar kepada Salwadi pada awal November 2008 selepas melalui proses pengesahan tuntutan.
"MISC menegaskan bahawa semua anak kapal MT Bunga Melati Dua termasuk Salwadi telah diberi peluang menyatakan kerugian semasa insiden rampasan dan menyerahkan tuntutan pada tarikh yang telah ditetapkan.
"Bayaran bagi tuntutan Salwadi yang dikemukakan pada Oktober 2008 telah dibuat sebulan kemudian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pereira bagaimanapun tidak menyatakan jumlah pampasan yang dibayar.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Salwadi berhasrat mengemukakan saman terhadap MISC yang didakwa gagal membayar pampasan berjumlah RM15,000 seperti dijanjikan syarikat itu sehingga menyukarkannya melangsungkan perkahwinan.
Menurut Pereira, Salwadi telah mengemukakan tuntutan kedua berjumlah RM8,548.59 kepada MISC dan ia kini dalam proses pengesahan sebelum pembayaran dapat dilakukan.
Site Link: Salwadi Mahu Saman MISC
0 responses to "MISC Bayar Wang Pampasan November Tahun Lalu"