Pasir Puteh, 27 Jan.
Bekas anak kapal MT Melati 2, Salwadi Mamat yang dijadikan tebusan lanun di Teluk Aden, Somalia, Ogos tahun lalu bercadang menyaman Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia Berhad (MISC) kerana gagal membayar pampasan kepadanya.
Katanya, tindakan tersebut terpaksa diambil apabila MISC gagal membayar pampasan berjumlah RM15,000 kepadanya seperti yang telah dijanjikan sehingga menyukarkannya melangsungkan perkahwinan.
"Sehingga kini saya masih menunggu pihak mereka membayar wang pampasan selepas barangan untuk majlis perkahwinan dan wang tunai dirampas lanun.
"Saya kecewa dan ingin mengemukakan saman malu terhadap mereka," katanya ketika ditemui pada majlis persandingan bersama pasangannya, Nor Hasliza Mat Zin, 23, di Kampung Danan Selising di sini hari ini.
Pada 19 Ogos tahun lalu, sekumpulan lanun telah merampas kapal tangki MT Bunga Melati 2 milik MISC Bhd. (MISC) di Teluk Aden.
Kumpulan lanun tersebut menuntut RM10 juta sebagai wang tebusan bagi membebaskan 39 anak kapalnya termasuk Salwadi, 32, yang tidak berpeluang hadir pada majlis pertunangannya.
Ekoran kejadian itu dan kegagalan MISC membayar pampasan kepadanya, tarikh perkahwinan pemuda berkenaan yang dirancang pada sambutan Hari Raya Aidiladha tahun lalu juga terpaksa ditunda. Bagaimanapun pasangan tersebut selamat diijabkabul dalam majlis sederhana di rumah pengantin perempuan hari ini.
"Selepas mengharungi pelbagai dugaan saya sangat bersyukur kerana selamat melangsungkan perkahwinan," ujarnya.
Sementara itu, Nor Hasliza berkata, mereka terpaksa menggunakan wang simpanan yang ada supaya hasrat untuk mendirikan rumah tangga tercapai.
Katanya, wang pampasan itulah yang sepatutnya digunakan untuk perbelanjaan majlis perkahwinan mereka namun terpaksa mencari alternatif lain.
"Kami kesempitan wang untuk melangsungkan majlis ini dan hanya menggunakan wang simpanan sedia ada," ujarnya.
Mohd Salwadi berkata, tindakan undang-undang itu akan dilakukan melalui pihak tertentu yang sudah memberi persetujuan untuk menyediakan semua keperluan dalam membuat tuntutan undang-undang berkenaan.
Site Link: MISC Bayar Wang Pampasan November Tahun Lalu
0 responses to "Salwadi Mahu Saman MISC"